Sunday, 29 April 2012

Tumbuhan Dalam Al-Qur'an


Tumbuhan Dalam Al-Qur'an

Feb 26, 2010 , Dikarang oleh N.A. Rahman pada 2/26/2010 10:43:00 AM
Sempena ulang tahun hari kelahiran Nabi Muhammad SallAllahu 'Alaihi Wasallam pada bulan Rabi'ul Awal, penulis ingin berkongsi maklumat mengenai tumbuh-tumbuhan yang dinyatakan secara khusus dan umum di dalam Al-Qur'an. Di antara tumbuhan yang dinyatakan tersebut, ada tumbuhan yang berasal daripada wilayah Asia Tenggara termasuk Malaysia seperti pisang (Musa paradisiaca), halia (Zingiber officinale) dan kapur (Dryobalanops aromatica) (Latiff 2009). Berikut adalah tumbuhan-tumbuhan yang dinyatakan dalam Al-Qur'an:

1. Nama umum: Anggur
Nama dalam Al-Qur'an: "A'nab" atau أَعْنَابٍ
Nama saintifik: Vitis vinifera
Famili: Vitaceae
Taburan asal: Wilayah Mediterranean, Eropah tengah dan Asia Barat Daya
Surah dan ayat: (17: 91), (80: 28), (2: 266), (16: 11 & 67), (18: 32), (23: 19), (36: 34), (78: 32), (6: 99), (13: 4)

2. Nama umum: Bawang
Nama dalam Al-Qur'an: 'Basal' atau بَصَلِ
Nama saintifik: Allium cepa
Famili: Alliaceae
Taburan asal: Tidak diketahui
Surah dan ayat: (2: 61)

3. Nama umum: Bawang putih
Nama dalam Al-Qur'an: 'Fum' atau فُومِ
Nama saintifik: Allium sativum
Famili: Alliaceae
Taburan asal: Tidak diketahui
Surah dan ayat: (2: 61) 2:61 juga menyebut mentimun

4. Nama umum: Biji sawi atau 'black mustard'
Nama dalam Al-Qur'an: 'Khardal' atau خَرْدَلٍ
Nama saintifik: Brassica nigra
Famili: Brassicaceae
Taburan asal: Selatan wilayah Mediterranean di Eropah
Surah dan ayat: (21: 47), (31: 16)

5. Nama umum: Buah tin atau 'fig'
Nama dalam Al-Qur'an: 'At-Tiin' atau التِّينِ
Nama saintifik: Ficus carica
Famili: Moraceae
Taburan asal: Asia Barat Daya dan selatan wilayah Mediterranean
Surah dan ayat: (95: 1)

6. Nama umum: Delima atau 'pomegranate'
Nama dalam Al-Qur'an: 'Ar-Rumman' atau الرُّمَّانَ
Nama saintifik: Punica granatum
Famili: Lythraceae
Taburan asal: Timur Tengah
Surah dan ayat: (6: 99 & 141), (55: 68)

7. Nama umum: Halia
Nama dalam Al-Qur'an: 'Zanjabil' atau زَنجَبِيلً
Nama saintifik: Zingiber officinale
Famili: Zingiberaceae
Taburan asal: Asia
Surah dan ayat: (76: 17)

8. Nama umum: Kacang dal atau 'lentil'
Nama dalam Al-Qur'an: 'Adas' atau عَدَسِ
Nama saintifik: Lens culinaris
Famili: Fabaceae
Taburan asal: Timur Dekat
Surah dan ayat: (2: 61)

9. Nama umum: Kapur, 'camphor tree' atau 'Malay camphor'
Nama dalam Al-Qur'an: 'Kafur' atau كَافُورً
Nama saintifik: Dryobalanops aromatica
Famili: Dipterocarpaceae
Taburan asal: Semenanjung Malaysia, Borneo, Sumatra
Surah dan ayat: (76: 5)

Nota: Dua spesies tumbuhan yang berlainan famili telah menjadi sumber kapur atau 'camphor' pada masa silam. Salah satu daripadanya adalah pokok dari Malaysia iaitu Dryobalanops aromatica daripada famili Dipterocarpaceae dan yang satu lagi ialah pokok dari China dan Jepun iaitu Cinnamomum camphora daripada famili Lauraceae. 'Camphor' diperolehi daripada pokok Dryobalanops aromatica melalui kulit kayu, manakala 'camphor' bagi pokok Cinnamomum camphor diperolehi melalui kayu (setelah damar pada kayu dibekukan) (Safaraz et al. 2009d).

10. Nama umum: 'Camphor tree' atau 'camphor laurel'
Nama dalam Al-Qur'an: 'Kafur' atau كَافُورً
Nama saintifik: Cinnamomum camphora
Famili: Lauraceae
Taburan asal: Taiwan, selatan Jepun, tenggara China, Indochina
Surah dan ayat: (76: 5)

11. Nama umum: Labu air, 'bottle gourd' atau 'calabash'
Nama dalam Al-Qur'an: 'Yaqtin' atau يَقْطِينٍ
Nama saintifik: Lagenaria siceraria
Famili: Cucurbitaceae
Taburan asal: 'Old World' tropika
Surah dan ayat: (37: 146)

12. Nama umum: Miswak, siwak, kayu sugi atau 'toothbrush tree'
Nama dalam Al-Qur'an: 'Khamt' atau خَمْطٍ
Nama saintifik: Salvadora persica
Famili: Salvadoraceae
Taburan asal: Semenanjung Arab, Mesir, India
Surah dan ayat: (34: 16)

13. Nama umum: Pokok Bidara atau 'Indian plum'
Nama dalam Al-Qur'an: 'Sidr' atau سِدْرٍ
Nama saintifik: Ziziphus mauritiana
Famili: Rhamnaceae
Taburan asal: India
Surah dan ayat: (34: 16), (56: 28)

Nota: Terdapat percanggahan pendapat terhadap pokok 'Sidr' yang dinyatakan dalam Al-Qur'an. Ada pengkaji Al-Qur'an dan Hadith berpendapat pokok tersebut ialah Ziziphus mauritiana. Terdapat juga pengkaji Al-Qur'an dan Hadith yang berpendapat perkataan 'Sidr' tidak bermaksud pokok daripada genus Ziziphus (famili Rhamnaceae) tetapi di maksudkan dengan pokok daripada genus Cedrus (famili Pinaceae). Oleh kerana wujud percanggahan tersebut, kajian mendalam perlu dilakukan terhadap hal ini (Safaraz et al. 2009b).

14. Nama umum: Pisang
Nama dalam Al-Qur'an: 'Talh' atau طَلْحٍ
Nama saintifik: Musa paradisiaca
Famili: Musaceae
Taburan asal: Asia Tenggara dan Oceania
Surah dan ayat: (56: 29)

Nota: Banyak sumber mengenalpasti perkataan 'Talh' di dalam Surah Al-Waqi'ah ayat 29 memberi maksud sama ada sebagai pisang atau pokok daripada genus Acacia (Acacia seyal). 'Talh' telah dikenalpasti sebagai pisang di dalam beberapa tafsiran klasik dan moden bagi Al-Qur'an dan juga di dalam beberapa kamus Arab klasik. Walaupun pisang bukan tumbuhan yang berasal dari semenanjung Arab, kemungkinan besar orang Arab telah biasa dengan pisang ketika ditanam buat pertama kali di wilayah Mediterranean lebih kurang pada 650 M, iaitu pada saat kebangkitan Islam. Daripada segi etimologi, perkataan 'banana' (pisang) berasal daripada perkataan Arab bagi jari iaitu 'Banan'. Pisang mempunyai rasa manis berbanding Acacia, juga menepati konteks Syurga dengan baik. Perkataan 'Talh' juga merupakan nama umum Arab Yaman bagi pokok Acacia seyal yang tumbuh di Sudan, Libya, Jordan dan semenanjung Arab. Pokok ini juga dikaitkan dengan pokok semasa peristiwa Baiatul Ridhwan (Surah Al-Fath: 18) (Al-Zein & Musselman 2004).

15. Nama umum: Selasih atau 'sweet basil'
Nama dalam Al-Qur'an: 'Ar-Raihan' atau الرَّيْحَانُ
Nama saintifik: Ocimum basilicum
Famili: Lamiaceae
Taburan asal: Iran, India dan Asia tropika
Surah dan ayat: (55: 12)

16. Nama umum: Tamar, kurma atau 'date palm'
Nama dalam Al-Qur'an: 'Al-Nakhl' atau نَخْلٍ
Nama saintifik: Phoenix dactylifera
Famili: Arecaceae
Taburan asal: Utara Afrika dan Asia Barat
Surah dan ayat: (2: 266), (16: 11 & 67), (17: 91), (23: 19), (36: 34), (6: 99 & 141), (13: 4), (19: 23 & 25), (55: 11 & 68), (80: 29), (18: 32), (20: 71), (26: 148), (50: 10), (54: 20), (69: 7)

17. Nama umum: Timun, mentimun atau 'cucumber'
Nama dalam Al-Qur'an: 'Qiththa' atau قِثَّا
Nama saintifik: Cucumis sativus
Famili: Cucurbitaceae
Taburan asal: India
Surah dan ayat: (2: 61)

18. Nama umum: Zaitun atau 'olive'
Nama dalam Al-Qur'an: 'Az-Zaitun' atau الزَّيْتُونِ
Nama saintifik: Olea europaea
Famili: Oleaceae
Taburan asal: Timur lembangan Mediterranean
Surah dan ayat: (6: 99 & 141), (16: 11), (24: 35), (95: 1)

19. Nama umum: 'Tamarisk'
Nama dalam Al-Qur'an: 'Athl' atau أَثْلٍ
Nama saintifik: Tamarix aphylla
Famili: Tamaricaceae
Taburan asal: Afrika, Timur Tengah, Asia Barat, Asia Selatan
Surah dan ayat: (34: 16)

Rujukan:
Al-Zein, M. & Musselman, L.J. 2004. The Quranic Talh: Banana or Acacia? http://2004.botanyconference.org/engine/search/index.php?func=detail&aid=276

Harun, Y. 2001. Beauties for life in the Qur'an. http://www.harunyahya.co.uk/beauties05.php

Latiff, A. 2009. Quranic Botanical Gardens. http://pakteh48.blogspot.com/2009/12/quranic-botanical-gardens.html

Mushtaq, A., Mir, A.K., Safaraz, K.M., Muhammad, Z., Muhammad, A.K., Tamoor, U.H. & Shazia, S. 2009. Useful medicinal flora enlisted in Holy Qur'an and Ahadith. American-Eurasian J. Agric. & Environ. Sci. 5 (1): 126-140.

ParsQuran 2006. Fruits and vegetables in Quran. http://www.parsquran.com/eng/subject/fruit.htm

Quran Explorer. http://www.quranexplorer.com/quran/

Safaraz, K.M., Mir, A.K., Muhammad, A.K., Fazal-ur-Rehman, Mushtaq, A., Muhammad, Z. & Shazia, S. 2009a. Salvadora persica, Tamarix aphylla and Zizyphus mauritiana - Three woody plant species mentioned in Holy Quran and Ahadith and their ethnobotanical uses in North Western Part (D.I. Khan) of Pakistan. Pakistan Journal of Nutrition 8 (5): 542-547.

Safaraz, K.M., Mir, A.K., Muhammad, A.K., Mushtaq, A., Muhammad, Z., Fazal-ur-Rehman & Shazia, S. 2009b. Fruit plant species mentioned in the Holy Qur'an and Ahadith and their ethnomedicinal importance. American-Eurasian J. Agric. & Environ. Sci. 5 (2): 284-295.

Safaraz, K.M., Mir, A.K., Muhammad, A.K., Mushtaq, A., Muhammad, Z., Fazal-ur-Rehman & Shazia, S. 2009c. Vegetables mentioned in the Holy Qur'an and Ahadith and their ethnomedicinal studies in Dera Ismail Khan, N.W.F.P, Pakistan. Pakistan Journal of Nutrition 8 (5): 530-538.

Safaraz, K.M., Muhammad, A.K., Fazal-ur-Rehman & Inayat Ullah, B. 2009d. Aromatic plant species mentioned in the Holy Qur'an and Ahadith and their ethnomedicinal importance. Pakistan Journal of Nutrition 8 (9): 1472-1479.

Taqwa Palace 2002. Plants of the noble Qur'an. http://www.ummah.com/islam/taqwapalace/fitness/health2.html

Terjemahan Al-Qur'an. http://www.alquran-melayu.com/

Sumber foto:
Semua foto diperolehi daripada laman web http://en.wikipedia.org/ kecuali foto Brassica nigra iaitu daripada http://aidanbrooksspices.blogspot.com/


Nota Dari Utusan.net: Allah menurunkan beberapa contoh (disebut secara khusus) tumbuhan, binatang dan buahan untuk kegunaan manusia. Terdapat seribu satu macam jenis yang terdapat dimuka bumi ini. Yang penting kita menyelidik dan mencari dengan berpandukan kitab. Jadi, jangan pula anda yang tersalah tafsir, bahawa hanya buah dan pokok yang disebut dalam Al-Quran sahaja yang baik untuk manusia. Sebab itu kita ada saintis, pakar nutrisi dan sebagainya.
DIBAWAH ADALAH ANTARA BUAH/TUMBUHAN YANG DISEBUT DALAM AL QURAN / HADIS

1. KURMA

a. Yang Dipilih Para Rasul
Lebih 1400 tahun buah yang berkhasiat ini dianugerahkan kepada manusia dikenali menurut sejarah. Masyarakat seluruh dunia kini mengiktiraf buah yang tahan lasak atas kemampuannya tumbuh di padang pasir dari Timur Tengah Arab ini sebagai makanan wajib harian atas keberkesanannya dalam memberi tenaga, membantu memperkemaskan sistem fungsi tubuh dan otak.

b. Sejarah
Dalam sejarah Islam, antara fakta yang amat popular mengenai kurma yang amat tinggi khasiat ini adalah catatan sejarah Saidatina Maryam ‘Alaihissalam ketika mahu melahirkan Nabi Isa ‘Alaihissalam dirakam di dalam Al-Quran; (Ketika ia hendak bersalin) maka kesakitan itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma);

Al-Quran [17] Surah Maryam [Ayat 23]
Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya: "Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.”

Al-Quran [17] Surah Maryam [Ayat 24]
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah kurma yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Al-Quran [17] Surah Maryam [Ayat 25- 26]
Kurniaan umpama hadiah dari Allah untuk kita

Jika dari sudut logik akal manusia, seorang ibu yang baru bersalin perlu mengamalkan gabungan pelbagai jenis makanan untuk menggantikan kembali kepada si ibu yang kehilangan banyak tenaga dan darah, tetapi kesemua itu Allah lengkapkan hanya dengan satu jenis makanan yakni Kurma.

Kurma tinggi kandungan Tannin (Vitamin B1) yangmana digunakan dalam perawatan sebagai pencuci bagi mengatasi masalah usus. Dalam bentuk cecair, sirup dan kanji, kurma mampu membantu mengatasi masalah sakit tekak, selsema, katar bronkus dan diambil untuk meredakan demam dan pelbagai masalah berkaitannya. Ia juga satu amalan tradisional yang dipercayai mampu mengatasi masalah toksin alkohol. Biji kurma juga digunakan dalam beberapa rawatan tradisional. Kebiasaannya seorang Ibu perlu berpantang pelbagai jenis makanan semasa hamil dan selepas bersalin bagi memastikan badan Ibu dan bayi berada dalam situasi terbaik.

Jika kurma amat sesuai untuk ibu-ibu hamil dan selepas bersalin dalam menambah tenaga, darah yang berkurangan dan sistem pencernaan yang terbaik, sudah pasti ia baik untuk diamalkan oleh semua golongan usia..!

Allah Subhanahu Wata’ala memerintahkan Saidatina Maryam ‘Alaihissalam memakan buah kurma, sudah pasti ia adalah kurniaan terbaik dariNya dengan berfirman kepada Saidatina Maryam ‘Alaihissalam; “bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan..”.

Bayangkan seorang Ibu yang bersalin keseorangan di padang pasir yang terpencil tanpa bantuan orang lain. Dalam keadaannya yang lemah lagi tidak berdaya akibat bertarung nyawa dalam melahirkan anaknya, kehilangan tenaga dan kehilangan darah yang banyak sekali..

Keberkatan
Makanan Pilihan Rasul, Ulama’ & Ahli Ibadah
Daripada Salman ibn 'Aamir, “Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: Jika salah seorang di antara kamu hendak berbuka puasa, berbukalah dengan kurma sebab kurma itu barakah (berkat), kalau tidak ada maka dengan air kerana air itu bersih dan suci.” (Hadis riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: “Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman adalah buah tamar” (Hadis riwayat Abu Daud)
Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya:
"Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya (bertahnik) dengan buah kurma. (dijelaskan tambahan dalam riwayat Imam Bukhari) “.. maka Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam mendoakan kebaikan dan mendoakan keberkatan baginya, lalu menyerahkan kembali kepadaku." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Kesihatan & Kekuatan Jasmani & Ruhani

Kurma Menenangkan Perasaan
Di dalam Al-Quran Surah Maryam Ayat 26, Allah Subhanahu Wata’ala berfirman kepada Saidatina Maryam ‘Alaihissalam; “..bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan”. Cuba renungkan bukti saintifik ini yang ditemui oleh mereka yang pakar;
“Amalan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam memakan tamar (kurma) adalah baik sebab ia mengandungi karbohidrat tinggi, di samping asid amino, antaranya triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan”. -Dr Suriya Osman¹.

Kurma Memelihara Kesihatan
Berdasarkan kajian kimia dan fisiologi Dr Ahmad Abdul Ra'ouf Hisyam dan Dr. Ali Ahmad Syahhat, data berikut diperoleh ². Memakan ruthab dan atau tamar ketika berbuka puasa akan menambahkan peratus kandungan glukosa dan sukrosa dalam badan.
Penyakit anemia (kurang darah) akan berkurangan dan tubuh tidak pucat. Ketika perut kosong, saat itulah makanan yang mengandungi nutrien glukosa dan sukrosa akan mudah dicerna dan diserap secara cepat dan maksimum. Jadi, kandungan glukosa dan sukrosa dalam ruthab dan tamar yang banyak itu menjadikan proses mencerna dan menyerap di dalam badan sangat mudah.

Ia berserat tinggi, mengandungi kalisum, potassium, folate, vitamin A, B, B1, B2, B3 C dan E, bebas lemak dan bebas kolestrol. Amat Membantu Dalam Mencegah Penyakit Kronik Seperti Jantung & Kencing Manis.

"Dari segi perubatan, amalan memakan kurma setiap hari boleh mengurangkan risiko seseorang itu diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis kerana mengandungi zat galian seperti potasium, kalsium dan zat besi yang boleh menyihatkan sel darah merah". Prof. Madya Aslah Zain.³

2. MADU LEBAH
Dalam sejarah Islam fakta Madu yang amat popular dirakam di dalam Al-Quran [16] Surah An-Nahl [Ayat 69] melalui perintah Allah Subhanahu Wata'ala kepada lebah;
Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutilah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkanNya kepadamu. “Dengan itu keluarlah dari badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada
yang demikian itu ada tanda (membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.

a. Penyembuh Yang Mujarab
“Ambillah, pergunakanlah olehmu sekalian akan dua penyembuh iaitu Madu dan Al-Quran”- Riwayat Ibnu Majah
Kita perlu mengambil Madu setiap hari untuk kekal sihat kerana ia bukan sekadar membekalkan banyak zat malah juga didapati boleh meningkatkan tenaga, merangsang dan memperbaiki aliran darah.

b. Kuasa Mencerdaskan Otak
Madu juga kaya dengan fruktosa iaitu gula ringkas yang boleh diserap terus ke dalam darah untuk memberi tenaga segera. Tidak hairanlah para penyelidik menggelar Madu sebagai agen untuk mencerdaskan otak kerana apabila aliran darah lancar, lebih banyak oksigen dapat dibawa ke otak.

c. Antioksida & Menghenti Serangan Bakteria
Sungguh menarik, Madu boleh menjadi antibiotik dan antiseptik bagi melawan jangkitan bakteria samada dalaman dan luaran. Kajian penyelidik Universiti Wales mendapati bahawa Madu boleh menghentikan aktiviti bakteria yang menyerang luka dan menghalang jangkitan daripda terus merebak. Benarlah seperti pesan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam;
Dari Abu Hurairah, kata beliau: Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: “Barangsiapa yang menjilat Madu sebanyak tiga kali pagi setiap bulan, maka dia tidak akan terkena cubaan yang besar.”
Secara umumnya setiap titis Madu mengandungi:
Vitamin - A, B1, B2, B3, C, D, E dan K. Garam Galian - Kalsium, Fosforus, Sulfur, Zat Besi, Karbon, Magnesium, Natrium, Kalium, Klorin, Iodin, Kuprum, Mangan, Silika. Beta Karoten. Gula - Glukosa, Fruktosa dan Sakarin.

Antara manfaat Madu yang lain ialah:
Membekalkan tenaga segera, Gula dalam Madu mudah dihadam dan sebagai sumber dan memulihkan tenaga.
Membantu melawaskan sistem pencernaan
Membantu buah pinggang berfungsi dengan lebih baik
Mencergaskan dan menenangkan fikiran disebabkan banyak oksigen dibawa ke otak.
Mengurangkan kesakitan kulit terbakar
Mengurangkan parut
Merangsang pertumbuhan sel baru dan mempercepatkan penyembuhan luka.

3. AIR ZAM-ZAM
a. Air Yang Mulia Lagi Diberkati
Dalam peristiwa penuh bersejarah tatkala bunda Nabi Ismail ‘Alaihissallam, Siti Hajar ‘Alaihissalam berulang-alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah, mencari bantuan di tengah padang pasir Makkah yang terik lagi kering bagi mendapatkan bekalan, Allah Subhanahu Wata'ala menerbitkan Air Zam-Zam berhampiran Kaabah yang sehingga kini dapat dinikmati oleh jutaan umat Islam seluruh dunia.
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: Air Zam-Zam dicipta Allah Subhanahu Wata'ala bersifat alkali. Tanpa perlu diproses dan ditambah sesuatu, ia merupakan air yang paling berkualiti, suci, bersih lagi berkhasiat. Ia diberkati dan mengenyangkan.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Zam-Zam diberkati dan mengandungi makanan bergizi” Hadis Riwayat Muslim

b. Diminum dengan tujuan (niat)
Manfaat meminum Air Zam-Zam adalah semasa kita meminumnya dengan niat. Dan berniatlah bersungguh-sungguh. Sepertimana pesan baginda;
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
“Air Zam-Zam sesuai dengan tujuan orang yang meminumnya” Hadis Riwayat Ibnu Majah

4. BUAH TIIN
a. Tiada Keraguan Akan Manfaatnya
Allah berfirman: “Demi Buah Tiin dan Buah Zaitun, Demi Gunung Sinai dan negeri (Makkah) yang dijadikan aman...”
Buah Tiin kaya dengan serat dan pelbagai vitamin dan mineral di dalamnya yang memberi manfaat kepada tubuh sehingga sendi-sendi mampu diperkuatkan..

b. Umpama Hadiah Dari Syurga
Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:
Makanlah kamu semua dan makan darinya (Buah Tiin), sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam lagi. “Sekiranya aku katakan sesungguhnya buah yang turun dari syurga maka aku kata ‘Inilah buahnya’. Ini kerana buah syurga tiada keraguan. Sesungguhnya ia boleh menyembuhkan penyakit buasir dan mendatangkan manfaat bagi sendi-sendi.”
Antara manfaatnya adalah:
Mengimbangi tekanan darah
Merendahkan tahap kolestrol
Membantu mencapai berat badan yang seimbang dan ideal
Membantu mengatasi angin ahmar
Mencegah penyakit kencing manis
Memerangi penyakit kanser
Mencegah serangan ghout, sembelit dan buasir

5. BUAH ZAITUN
a. Sarinya Tinggi Berzat & Bercahaya
Allah berfirman: “Demi Buah Tiin dan Buah Zaitun, Demi Gunung Sinai dan negeri (Makkah) yang dijadikan aman...”
“..lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya..” Al-Quran [24] Surah An-Nur [Ayat 35]
Banyak kajian ke atas Buah Zaitun memberi hasil yang memberangsangkan. Ia dipilih antara makanan yang banyak memberi manfaat bukan sahaja sebagai pengganti minyak dalam masakan, malah atas keberkesanannya mengatasi pelbagai masalah kesihatan yang dianggap sebagai penyakit utama masakini.
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga bersabda:
“Gunakanlah sari Zaitun sebagai lauk pauk dan minyak, sesungguhnya ia berasal dari pohon yang diberkati”- Riwayat At Tirmizi dan Ibnu Majah

b. Manfaatnya
Membantu mengatasi masalah darah tinggi
Merendahkan tahap kolestrol berbahaya
Mengurangkan risiko serangan kanser
Menyihatkan kulit
Mengurangi terjadinya Trombosis dan Arterioklerosis (Pembuluh Darah Tersumbat dan Sempit)

6. HABBATUS SAUDA'
a. Penawar Segala Jenis Penyakit
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:
“Tetaplah kamu dengan Habbatus Sauda’ kerana padanya adalah penawar segala jenis penyakit melainkan As Sam.” Para sahabat bertanya “ Ya Rasulullah, apakah itu As-Sam..?” Jawab Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam; “ As Sam itu adalah mati..”
Sehingga ke hari ini Habbatus Sauda’ terus menerus memberikan kejutan kepada pakar perubatan atas keberkesanannya dalam mengatasi masalah kesihatan yang kronik. Keupayaannya dalam melawan bakteria dan hampir semua masalah kesihatan kronik berkaitan kulit, saraf, darah, gula, jantung dan organ-organ dalam yang lain, pakar perubatan mengakui daya penawar yang terdapat padanya.

7. ZA'FFARAN
a. Raja Segala Rempah
Gelaran Raja Segala Rempah adalah kerana keberkesanannya dalam menyumbang penyelesaian masalah kesihatan dan tak lupa juga kerana harganya yang senilai dengan harga emas dipasaran!
Dalam kitab Perubatan Saidina Ali’Thib Al Imam Ali’ halaman 381:
“Sesiapa yang mengambil Za’ffran tulen dan Su’dun satu bahagian dicampurkan dengan Madu, diminum sebanyak dua misqal(sudu) pada setiap hari, dia dikagumi akan daya ingatannya sehingga dituduh melakukan sihir..”
Selain meningkatkan daya ingatan, Za’ffaran juga dipercayai dapat mengatasi masalah usus, penyakit wabak kulit ‘bubonic plague’ dan cacar yangmana juga hasil ujikaji menunjukkan Za’ffran berpotensi sebagai anti-kanser dan agen awet muda.

b. Manfaatnya
Melancarkan sistem daya ingatan
Melancarkan sistem saraf
Meningkatkan daya tahan penyakit dari serangan bakteria

8. GINKGO BILOBA
a. Kemampuannya Unik
Ginkgo mengandungi flavanoid glycosides dan terpenoids (ginkgodes,
bilobades) dan digunakan secara farmaseutikal. Banyak juga yang
menyatakan kemampuan nootropic atau nutrisi-bijak yang keutamaannya
berfungsi sebagai penguat daya ingatan dan anti-vertiga (mabuk laut,
gayat dan seumpamanya)
Antara tiga kesan utamanya adalah
Meningkatkan pelancaran darah (termasuk kitaran-mikro yakni saraf halus kebanyakan tisu dan organ yang tersumbat.
Melindungi tindakbalas sel beroksida yang rosak dari radikal bebas
Menghalang banyak kesan PAF (platelet aggregation, blood clotting) yakni darah menjadi pekat dan menyebabkan saluran tersumbat. Masalah ini menyumbang peningkatan masalah kardiovaskular, buah pinggang, pernafasan. Ginkgo juga dipercayai dapat membantu masalah kekejangan saraf.

9. DAUN SIRIH
a. Daun Ajaib Seribu Daya
Herba pusaka warisan ini mempunyai seribu daya sebagai sumber kecantikan dan perubatan tradisional Melayu dan juga sering diguna dalam majlis adat istiadat Melayu.
Dalam dunia perubatan tradisional Melayu, ia mendahului herba-herba tempatan yang lain kerana sinonim dengan adat istiadat. Keberkesanannya dalam mengatasi pelbagai masalah kesihatan juga tidak dapat dinafikan. Hasil kajian saintifik membuktikan Sireh mengandungi komponen-komponen aktif yang sangat tinggi nilainya seperti antioksidan, astrigen,ekspektoran, euginol, flavonoid, hydroxyl cavicol, polyphenol, sialagoga dan banyak lagi yang penting dalam bidang perubatan herba
untuk kesihatan tubuh secara menyeluruh.
Dipetik dari laman web www.anaedar.com

Sekali lagi ditegaskan bahawa baru sejak zaman moden ini, dengan kemajuan sains kita dapat mengerti ayat-ayat al-Quran dengan mudah dan lebih mendalam. Ada banyak ayat lain yang pada zahirnya mudah difahami tetapi sebaliknya ada erti dari segi ilmu kaji hayat yang mendalam maknanya. Misalnya surah al-Anbiya’ ayat 30;
اولم يرالنين كفروا ان السموت والارض كانتا رتقا ففتقنهما وجعلنا من الماء كل شئ حي افلا يوءمنون
“Dan tidakkah orang-orang kafir itu lihat bahawa sesungguhnya langit-langit dan bumi itu dahulunya adalah sekepal, lalu Kami pisahkan antara keduanya: dan Kami jadikan air dari tiap-tiap suatu yang hidup?”.

Ayat ini bukan hanya menunjukkan bahawa tiap-tiap benda yang hidup diciptakan dari air sebagai bahan binaannya tetapi juga ayat ini merupakan suatu pengakuan bahawa asal segala makhluk yang hidup adalah daripada air. Juga ia mengandungi fahaman bahawa tanpa air, sesuatu benda tidak dapat hidup. Badan manusia sendiri terdiri dari lebih 75% air! begitu juga dengan haiwan dan tumbuh tumbuhan kebanyakkanya terdiri dari air!

Perkataan yang diterjemahkan sebagai air ialah maa’ yang bermakna air hujan, air laut atau sebarang benda yang encer. Dalam ertikata lain, air hujan merupakan unsur yang paling penting dalam kehidupan tumbuh-tumbuhan. Dalam surah Thaha ayat 53 menyebut;
وانزل من السماء ماء فاخرجنا به ازواجا من نبات شئ
”Dan diturunkan dari langit air hujan, maka Kami tumbuhkan dengan air hujan itu berjenis-jenis tumbuh-tumbuhan yang bermacam-macam”.

Dalam erti maa’ sebagai cecair tanpa perincian, kata maa’ tersebut dipakai secara tidak diterangkan lebih lanjut untuk menunjukkan dasar semua haiwan. Dalam surah an-Nur ayat 45 disebut;
والله خلق كل دابة من ماء
“Dan Allah menciptakan semua jenis haiwan dari air”.

Dengan keterangan itu, ayat-ayat al-Quran mengenai asal kehidupan pada amnya, atau unsur yang menyebabkan munculnya tumbuh-tumbuhan atas bumi atau asas bibit haiwan sesuai dengan fakta sains. Tidak ada dalam al-Quran mengenai masalah-masalah ini yang diyakini oleh manusia pada waktu al-Quran diwahyukan.

Kemajuan dalam ilmu hayat pada masa Rasulullah
tidak cukup maju untuk menentukan sebagai suatu hukum bahawa biasanya tumbuh-tumbuhan mempunyai alat betina dan alat jantan. Tetapi dalam surah Thaha ayat 53;
وانزل من السماء ماء فأخرجنا به ازواجا من نبات شئ
“Dan (ia telah) turunkan air dari langit-langit, lalu Kami terbitkan dengan (air) itu
beberapa jodoh dari tumbuh-tumbuhan yang bermacam-macam”.

Hari ini kita mengetahui bahawa buah-buahan dihasilkan dari tumbuh-tumbuhan yang mempunyai sifat kelamin (walaupun ia datang dari bunga yang tidak disenyawakan seperti pisang). Dalam surah ar-Ra’d ayat 3 disebut;
ومن كل الثمرات جعل فيها زوجين اثنين
Dari tiap-tiap buah-buahan Dia jadikan sepasang sepasang”.

Renungan mengenai kelahiran haiwan dikaitkan dengan renungan mengenai manusia.

Dalam bidang kaji tugas alat tubuh (physiology), ia satu ayat yang sangat bererti.
Seribu tahun sebelum manusia mengetahui peredaran darah dan tiga belas abad sebelum manusia mengetahui apa yang terjadi dalam usus untuk memberi zat makanan kepada tubuh dengan proses penyerapan percernaan ada sebuah ayat dalam al-Quran yang menjelaskan sumber unsur-unsur yang terkandung dalam susu sesuai dengan proses itu.

Untuk memahami ayat ini, kita mesti terlebih dahulu mengerti bahawa di dalam usus ada suatu tindakbalas kimia di mana bahan-bahan yang diambil dari makanan masuk dalam darah melalui suatu sistem yang rumit dan  melalui hati (liver) bergantung kepada susunan bentuk kimia bahan-bahan dalam makanan itu. Kemudian darah membawa bahan-bahan yang diambil dari makanan itu kepada semua bahagian tubuh. Di antaranya adalah kelenjar yang mengeluarkan susu.

Tanpa dibincangkan ini terlalu mendalam, kita boleh menegaskan secara kasarnya bahawa terjadi ketibaan bahan-bahan dari usus yang diresapi oleh kulit usus kemudian bahan-bahan itu dibawa oleh darah.

Kita hanya dapat memahami ayat 66 dari surah an-Nahl;
وان لكم في الانعام لعبرة نسقيكم مما في بطونه من بين فرث ودم لبنا خالصا سا.ىغا للشاربين
“Dan sesungguhnya bagi kamu pada binatang ternakan itu (an’am) ada pelajaran: Kami beri minum kamu dari apa yang ada di perut-perutnya (yang terbit) dari antara isu ususnya dan darah iaitu susu bersih, yang sedap bagi orang-orang yang meminumnya”. Susu itu asalnya dari darah. darah pula menyerap nutrien yang dihadamkan oleh usus melalui berbagai bagai tindakbalas kimia yang dibantu oleh berbagai bagai jenis dan fungsi enzim enzim pencernaan. Kebanyakan enzim ini dirembes oleh pankreas melalui pankreatik duct ke dalam duodenum (usus kecil) !

No comments:

Post a Comment